Monday, April 22, 2013

Tujuh tahun tempoh penting

Posted by Unknown On 21:30 | No comments
PAGOH 21 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh tujuh tahun ini merupakan jangka masa penting untuk menyediakan segala kepakaran dan keperluan bagi memenuhi tuntutan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.
Timbalan Perdana Menteri berkata, cabaran mempersiapkan modal insan atau tenaga mahir perlu diatasi untuk memastikan sektor-sektor yang sedang dimajukan tidak terjejas sekali gus memastikan proses pembinaan negara berjalan lancar.
"Dalam tempoh tujuh tahun ini Malaysia akan jadi maju dan berpendapatan tinggi, jadi kita perlu lahirkan modal insan untuk memenuhi keperluan sektor-sektor yang kita majukan selaras dengan pembangunan ekonomi," katanya semasa melancarkan kampus sementara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Taman Pagoh Jaya, di sini hari ini.
Yang turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.
Dalam majlis tersebut, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyumbang RM4.8 juta kepada UTHM untuk membeli lima unit rumah kedai bagi dijadikan kolej kediaman serta modal pusingan koperasi universiti berkenaan.
Muhyiddin berkata, keperluan dan kepakaran untuk pembangunan negara dilahirkan menerusi pelbagai sumber terutamanya dari universiti tempatan dan kerajaan amat menitikberatkan bidang pendidikan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpandangan jauh untuk melihat bidang pendidikan negara terus maju dan relevan dengan perkembangan semasa kerana menyedari akan muncul bidang-bidang baharu pada masa depan.
"Kita berasa bertuah kerana di bawah Barisan Nasional (BN), pendidikan menjadi satu agenda utama Malaysia. Ini adalah aspirasi Perdana Menteri untuk melihat Malaysia mempunyai satu sistem pendidikan bersepadu dan berkualiti," katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk memantau kerja-kerja pembinaan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) yang telah dimulakan tahun ini supaya fasa pertamanya siap mengikut jadual menjelang 2016.
"Jawatankuasa ini akan memastikan jika projek ini bermasalah, akan ada satu tindakan segera dan perlu diberi perhatian supaya ia tidak tertangguh. Kerja-kerja pembinaan sudah dimulakan di kawasan seluas kira-kira 202 hektar," katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji UTHM kerana merupakan universiti pertama berminat untuk membuka kampusnya di hab berkenaan selepas pemilik tanah, Sime Darby Property Selatan Sdn. Bhd. bersetuju menjadikan Pagoh sebagai Bandar Universiti.

0 comments:

Post a Comment

Pengikut