Monday, April 22, 2013

DAP angkat Hadi jadi PM

Posted by Unknown On 21:29 | No comments
BATU PAHAT 21 April - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa DAP telah membuat satu perjanjian sulit untuk mengangkat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri jika mereka dibenar menggunakan logo Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.
Beliau berkata, bagaimanapun perjanjian antara DAP dan Pas itu tidak diketahui oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang mengira hari untuk menjadi Perdana Menteri Ketujuh sekiranya pakatan pembangkang menang PRU-13.
“Kita difahamkan ada perjanjian sulit yang dibuat antara pemimpin utama DAP dan Pas bahawa Abdul Hadi akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan memenangi PRU-13, tetapi peliknya ia disembunyikan daripada pengetahuan Anwar yang sedang syok sendiri.
“Pengiktirafan Abdul Hadi itu dibuat kerana DAP dan Pas dikatakan tidak setuju dengan tindakan Anwar untuk menggunakan pelanduk dua serupa sebagai modal kempen PRU-13.
‘‘DAP dan Pas sudah tahu klon yang dibawa merupakan pembohongan besar selain berpendapat Anwar tidak bermoral, tidak bermaruah dan tidak mempunyai prinsip," katanya kepada pemberita selepas bertemu penduduk di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Permatang, Senggarang di sini hari ini.
Mohd. Puad mendakwa, pemimpin DAP dan Pas juga ketika ini yakin bahawa bekas rakan karib Anwar iaitu Datuk S. Nallakaruppan tidak berbohong tentang isu biseksual dan kisah Anwar dengan isteri Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali iaitu Shamsidar Taharin.
Malah, katanya, DAP dan Pas turut menganggap Anwar sebagai liabiliti politik dan kerana itu juga berlaku pertembungan Pas lawan PKR pada pilihan raya kali ini.
“Anwar gagal untuk mengawal pertembungan tiga atau empat penjuru kerana dia tahu DAP dan Pas tidak akan dengar pendapatnya sebab dia adalah liabiliti dalam politik pakatan.
“Sebab itu juga saya maksudkan parti dalam pakatan pembangkang ini ibarat tidur sebantal dan mimpi lain-lain kerana mereka tidak dapat mencapai kata sepakat," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Pengikut