Monday, April 22, 2013

Projek Agropolitan Pekan

Posted by Unknown On 21:27 | No comments
PEKAN 21 April - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembinaan sebanyak 140 buah rumah untuk peserta projek Agropolitan Pekan sebagai usaha membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Menurut Perdana Menteri, projek kelolaan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu, akan memberi peluang kepada 100 peserta Orang Asli di Runchang dan 40 peserta di Batu 8, Lepar di sini.
"Dengan cara seperti ini masyarakat luar bandar tidak perlu hidup dalam keadaan yang tiada sumber pendapatan kerana melalui projek Agropolitan Pekan sebelum ini, seramai 415 peserta di Tanjung Batu, Batu 8 dan Runchang telah mendapat manfaat daripadanya.
"Purata pendapatan peserta yang terlibat telah meningkat daripada RM500 sebelum menyertai projek ini kepada RM1,100 dan dijangka meningkat kepada RM5,000 menjelang 2020," katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Agropolitan Pekan di Tanjung Batu di sini hari ini.
Projek agropolitan di Tanjung Batu merupakan lokasi ketiga yang dibangunkan di bawah inisiatif Agropolitan Pekan, susulan pelaksanaan projek tersebut di Runchang pada 2009 dan Batu 8 pada 2011.
Yang hadir sama di majlis tersebut ialah calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff.
Menurut Najib, projek tersebut merupakan salah satu daripada dasar transformasi nasional yang membawa sinar harapan dan masa depan yang cerah untuk penduduk luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli.
"Contohnya jika sebelum ini mereka hanya mampu mengimpikan semua ini tetapi hari ini mereka mampu tinggal di rumah bernilai hingga RM70,000 sebuah dan mampu memiliki pendapatan yang jauh lebih baik daripada sebelum ini," kata beliau.
Tambahnya, projek ini antara bukti transformasi yang dapat dirasai kesannya dan bukan janji palsu atau pembohongan kerajaan BN.
"Kalau pembangkang, mereka hentam sahaja tetapi tiada apa-apa yang boleh diberikan kepada rakyat khususnya di Pekan," jelasnya.

0 comments:

Post a Comment

Pengikut