Monday, April 22, 2013

Fazurina rindukan ibu

Posted by Unknown On 23:00 | No comments
MANA-MANA wanita pastinya mengidamkan sebuah perkahwinan indah bersamam insan tercinta. Perkahwinan juga merupakan saat di mana dua keluarga bersatu melalui pertalian yang suci.
Tetapi tidak semua wanita akan melalui pengalaman yang sama. Ada yang terpaksa melalui liku dan ranjau perkahwinan, tetapi ia bukan bermakan sesuatu yang perlu diratapi.
Percaya akan ada kesudahan yang baik buat dia dan keluarganya suatu hari nanti, jauh di sudut hati Siti Fazurina Mohd Famir hanya meminta agar kesakitan itu segera berlalu.
Selama 10 tahun terlibat dalam industri lakonan, dia akui pedih realiti kehidupan sukar dibandingkan dengan watak yang pernah dibawakannya di dalam mana-mana drama atau filem.
Mahu melihat permulaan fasa baru kehidupannya jauh dari sebarang pertikaian orang luar, Siti Fazurina, 31, atau lebih dikenali mesra disapa Nina percaya sikap mendiamkan diri merupakan langkah terbaik buat dirinya.
“Di awal kontroversi ini menerpa saya akui kehidupan saya agak tunggang-langgang.
“Memang saya tertekan, namun saya tahu bukan mudah untuk menerangkan keadaan sebenar. Tambahan pula berkaitan dengan keluarga saya sendiri," katanya ketika hadir untuk sesi bergambar di studio Utusan Malaysia baru-baru ini.
Satu demi satu kisah ‘kejahatannya’ dibicarakan tanpa ada ruang buat dirinya memberi penjelasan.
Menegaskan dia masih waras, bagi Nina, sebagai anak dia tahu kedudukannya yang sentiasa mendambakan keberkatan insan yang melahirkannya ke dunia ini.
“Tipulah kalau saya kata saya langsung tidak merindui ibu serta adik beradik saya yang lain.
“Mereka merupakan orang yang paling saya sayang kerana saya tahu itu sahaja darah daging saya.
“Namun saya reda, mungkin belum lagi masanya untuk mereka menerima perkahwinan ini. Saya percaya dengan ketentuan Allah semuanya akan berubah," katanya.
Ditanya usaha dia dan suami Muhammad Hykal Zulkifli, 32, untuk mengubah hubungan yang tegang itu menjadi lebih kendur melalui kasih sayang, menurut Nina sudah tentu sebagai anak dia mahu semua itu cepat berakhir dan dia kembali mengecapi kasih sayang insan yang paling dihormatinya.
“Bukan sahaja saya, malah suami juga sudah berusaha untuk diterima keluarga saya sebelum kami berkahwin.
“Namun, seperti yang saya katakan tadi mungkin belum tiba masanya. Mungkin dengan rezeki anak suatu hari nanti keluarga saya akan kembali bersatu siapa tahu,"katanya tersenyum.
Sedang ramai yang mempertikaikan keputusannya untuk tetap berkahwin tanpa restu ibu, bagi Nina bukan satu kemestian untuk dia mengumumkan sebab utama keputusan itu dibuat memandangkan itu berkaitan dengan masa depan dirinya.
“Saya mengenali suami pada tahun 2010, melalui sepupu saya. Dalam tempoh enam bulan berkenalan, kami berdua sebenarnya sudah bersedia untuk berkahwin tetapi terlalu banyak halangan.
“Saya percaya mana-mana wanita juga mahu disatukan dengan lelaki yang dicintai, sama seperti saya. Kehadiran Hykal selepas dua bulan saya putus tunang banyak membantu saya waktu itu. Mungkin ini perjalanan kehidupan saya yang sudah tertulis," katanya.
Karier dan keluarga
Mengakui ketika kontroversi itu hebat diperkatakan, dia pernah mahu mengambil keputusan meninggal dunia lakonan.
Menurut Nina bukan soal malu yang menyebabkan tekanan yang dialaminya itu, tetapi terkejut dengan tindakan yang langsung tidak dijangkakan dirinya.
“Saya memang tertekan. Pada minggu pertama bergelar isteri sepatutnya semuanya nampak indah. Tetapi itu tidak terjadi kepada saya.
“Memang saya pada mulanya tidak mahu lagi terlibat dengan dunia seni memandangkan imej saya sudah tercalar. Namun, selepas beberapa ketika saya tahu ini merupakan sesuatu yang perlu saya teruskan kerana minat saya tidak pernah luntur walaupun seinci dek kerana insiden ini," katanya.
Mula bertudung sejak tahun lalu, menurut Nina, perjalanan kariernya agak terjejas dengan kontroversi itu.
Dia bagaimanapun hanya mampu berdoa agak terus diterima dalam industri itu.
“Pada mulanya memang saya terkesan, namun bukan kerana pihak produksi yang enggan menerima saya, tetapi sikap saya sendiri yang cuba menghilangkan diri dari industri.
“Syukur sebenarnya masih ada ruang buat saya meneruskan minat saya ini. malah melalui sokongan suami, saya dapat lihat karier saya sebagai pelakon akan terus berkembang," katanya yang bakal mulakan penggambaran untuk sebuah drama bersiri tidak lama lagi.
Tatkala sibuk dengan tugas sebagai isteri, Nina sebenarnya sedang merencanakan sesuatu buat kehidupannya.
Bukan sahaja mahu terus bergelar sebagai seorang pelakon, Nina kini sebenarnya sedang mengikuti kursus untuk membuka sebuah tadika.
“Itu merupakan antara impian saya dengan suami. Saya percaya ini jarang dipelopori oleh golongan artis. Jadi saya ambil kesempatan untuk menonjolkan kebolehan diri.
“Bagaimanapun ini bukan petanda saya akan meninggal dunia lakonan. Ini lebih kepada persediaaan masa depan bersama suami," katanya.
Percaya sudah cukup bersedia untuk bergelar seorang ibu, menurut Nina, buat masa ini dia dan suaminya hanya menyerahkan kepada takdir.
Tidak merancang, bagi pelakon yang pernah terkenal dengan sitkom bersiri Puteri itu dia tidak mahu sebarang tekanan mengenai perkara ini.
“Kami tidak merancang, kalau boleh memang mahukan anak secepat mungkin," katanya.
Berharap agar perkahwinannya akan kekal ke akhir hayat, wanita yang semakin bahagia itu tahu, melalui kehidupan sebagai suami isteri ada dugaan yang menanti.
Berdoa agar semuanya akan berlaku dalam keadaan yang aman tiada apa yang lebih penting untuk melihat suaminya juga suatu hari nanti diterima dengan baik oleh keluarganya.
“Bagi yang terus mempertikaikan saya, itu bukan sesuatu yang merunsingkan. Harapan saya agar mereka yang kenal saya mendoakan perkahwinan ini kekal selamanya.
“Selain itu apa yang lebih penting adalah untuk segera melihat hubungan saya dan suami kembali pulih dengan keluarga saya," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Pengikut