Monday, April 22, 2013

PRU kali ini dikatakan PRU terpenting dalam sejarah Malaysia, iaitu yang bakal menentukan hala tuju negara dan nasib rakyatnya di masa depan. Ini kerana apa yang ditawarkan oleh parti pembangkang adalah satu jenis pentadbiran yang belum jelas tetapi yang pastinya, amat bertentangan dengan pentadbiran sedia ada.
Seperti yang kita tahu, PAS menawarkan pentadbiran ‘Islam’, DAP menawarkan pentadbiran republik serta menghapuskan sistem Raja-raja, manakala PKR pula menawarkan pentadbiran liberal yang berpegang kepada kebebasan total dalam semua perkara.
PAS berkiblatkan ektremisme dan menjadikan negara seperti Iran atau Pakistan sebagai impian. DAP berkiblatkan Singapura dan berazam menjadikan kaum Cina sebagai kuasa dominan di samping menekan semua bangsa lain. Manakala PKR pula berkiblatkan barat dan menjadikan amalan pluralisme di Filipina dan Indonesia sebagai matlamatnya di mana semua agama adalah sama dan boleh berkahwin sesama sendiri.
Justeru, sekiranya rakyat Malaysia memberi kemenangan kepada pembangkang, maka kita akan berhadapan dengan satu lagi ‘pilihanraya’ iaitu di antara sesama parti dalam kerajaan PR bagi menentukan hala tuju mana yang akan digunapakai di Malaysia. Tidak mustahil ‘pilihanraya’ ini akan bertukar ganas dan berpanjangan.
Selain pertentangan ideologi, satu perkara lagi yang menjadikan PRU ini amat penting ialah ‘hayat’ pemimpin-pemimpin pembangkang yang sudah menjangkau tiga suku abad dalam politik.
Maka tidak hairanlah apabila Kit Siang sendiri tidak menolak kemungkinan Gelang Patah bakal menjadi kubur politiknya. Anwar juga telah menyatakan hasrat untuk bersara dan menjadi Pensyarah Universiti jika gagal mencapai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri untuk kesekian kalinya. Nik Aziz pula walaupun enggan bersara tetapi nampaknya tubuhnya sendiri bagaikan berdegil ingin bersara.
Kita alu-alukan persaraan mereka semua dari arena politik sekiranya PR kalah kali ini. Sudah sampai masanya mereka ini menghabiskan masa bersama keluarga dan menikmati nikmat keindahan negara sendiri sementara masa masih ada. Sekurang-kurangnya, tidaklah hidup mereka ini sia-sia sahaja dan akhirnya menutup mata sebagai seorang pengkhianat dan pemusnah negara sendiri.
Mungkin Lim Kit Siang boleh bersara dengan aman dan berhijrah ke Singapura atau mana-mana saja sambil menghabiskan masa memburukkan Malaysia di rumah orang tua-tua di sana. Nik Aziz boleh terus tidur di riba isterinya dengan aman tanpa gangguan. Anwar pula bolehlah menyambung cita-cita untuk menjadi Pensyarah. Cuma, kita tertanya-tanya Anwar ingin menjadi Pensyarah dalam bidang apa? Yang kita tahu, Anwar hanyalah graduan Pengajian Melayu itupun kata orang setakat gred 3, jadi Anwar ingin mengajar apa? Sains politik ala sesumpah? Atau Seksologi?
Kita juga amat berharap agar jangan pula mereka ini membuat pusingan U dan enggan mengotakan kata-kata mereka sendiri nanti. Kita tahu, mengotakan apa yang dikata adalah sesuatu yang amat sukar bagi pemimpin-pemimpin pembangkang ini. Manakala, menipu dan memutarbelit sudah menjadi makanan asasi bagi mereka sehinggakan rakyat menjadi buntu dan keliru sama seperti pakatan mereka yang bercelaru.
Oleh itu, sekiranya semua pemimpin tokong, pendita dan selebriti pembangkang ini tumbang, kita harapkan kebangkitan satu barisan kepimpinan baru pembangkang yang mampu menyumbang kepada negara dan bukannya menumbangkan negara. Iaitu pembangkang yang tahu bahawa matlamat kewujudannya ialah sebagai pengimbang bagi kuasa kerajaan, dan bukannya semata-mata untuk merampas kuasa.
Rakyat memerlukan satu anjakan baru dalam politik iaitu yang bukan lagi berkisar mengenai dendam, benci dan perkauman. Rakyat Malaysia hari ini rata-ratanya telah menerima hakikat kewujudan kontrak sosial yang mengikat perpaduan kaum negara ini dan tidak akan bertindak mempersoalkannya sekiranya tidak dihasut oleh pembangkang.
Oleh itu, kita harapkan agar barisan pelapis baru di dalam pembangkang mahupun kerajaan mempunyai kematangan, prinsip dan maruah yang tinggi agar tidak mudah dijual beli atau diperkotak-katikkan oleh sesiapa. Rakyat sudah benar-benar muak dan menyampah dengan politik mengumpat dan bergaduh.
Pendek kata, kita perlu berpolitik secara professional. Yang kalah, menerima kekalahan dengan matang, dan bersara secara baik. Yang menang pula bekerja bersungguh-sungguh memikul amanah yang dipertanggungjawabkan. Tidak ada lagi kes gila kuasa sehingga tidak tahu malu dan sanggup berbuat apa saja. Sikap sebegini sebenarnya langsung tidak menepati mentaliti ahli politik sebuah negara maju.
Ahli politik era baru dalam negara yang sedang menuju ke arah negara maju harus memahami bahawa politik bukanlah ‘makanan’ untuk hidup, tetapi hanyalah landasan untuk merealisasikan sebuah negara, dunia dan kehidupan yang lebih baik.

0 comments:

Post a Comment

Pengikut