“Saya sangat menghormati Islam dan undang-undang negara ini. Namun, ketika memasuki pertandingan ratu cantik, saya difahamkan oleh penganjur bahawa wanita Muslim boleh mengambil bahagian, sebab itu saya menyertainya.
“Saya tidak menyangka ia menjadi isu besar,” kata peserta Ratu Cantik Malaysia World 2013, Sara Amelia Muhd Bernard, 21.
Sara antara empat gadis Islam yang berada dalam senarai finalis Miss Malaysia World 2013 yang dijadual berlangsung pada 2 Ogos ini. Tiga lagi ialah Kathrina Rizuan, Wafa Johanna De Korte dan Miera Sheikh.
Acara kemuncak Miss World 2013 akan diadakan di Sentul, Bogor dan Nusa Dua, Bali di Indonesia pada 28 September ini. Berikutan bantahan pertubuhan Islam di negara itu, pihak penganjur buat kali pertama dalam 63 edisi pertandingan itu bersetuju memansuhkan acara berbikini dan menggantikannya dengan peragaan fesyen fabrik pantai Bali.
Senario itu menyebabkan penganjur tempatan dan empat gadis berkenaan percaya pertandingan Miss Malaysia World 2013 boleh disertai gadis Islam.
Namun, keempat-empat gadis berkenaan kini berdepan tindakan undang-undang daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana didakwa mencabar fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang melarang wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik.
Menurut Sara, dia secara terbuka ingin meminta maaf kepada JAWI dan masyarakat negara ini. Dia mendakwa tidak tahu mengenai larangan orang Islam memasuki pertandingan ratu cantik, apatah lagi penganjur mengesahkan peserta beragama Islam tidak perlu memperagakan pakaian renang dan membenarkan wanita Islam memasukinya.
“Ketika mula-mula memasuki pertandingan ini, saya tidak tahu ada fatwa larangan wanita islam menyertai pertandingan seumpamanya yang dikeluarkan pada 1996. Masa itu saya baru berusia empat tahun dan tidak tahu apa-apa.
“Malah, ibu saya pernah bertanya sama ada wanita Muslim boleh menyertai pertandingan itu. Selepas menjelaskan bahawa pihak penganjur membenarkan saya memasukinya, ibu tidak melarang. Namun, kini semuanya menjadi lebih berat.
“Sebelum keadaan bertambah keruh, saya ingin meminta maaf atas salah faham yang berlaku dan mungkin keterlanjuran saya mempersoalkan fatwa dikeluarkan pihak berkuasa.
“Saya tidak berniat apa-apa dan saya memohon maaf kepada semua,” katanya yang menghantar surat mohon maaf kepada JAWI dan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Sementara itu, Miera, 19, berkata, dia lebih senang berdiam diri bagi mengelak isu berkenaan terus panas.
“Diam lebih baik ketika ini. Saya bimbang lebih banyak diluahkan akan menyebabkan lebih banyak salah faham.
“Mengenai status sama ada saya terus bertanding atau tidak, itu bergantung kepada pihak penganjur. Harap ada berita menggembirakan,” katanya ketika dihubungi.
Model sambilan dan pelakon baru itu berkata, dia reda dan menghormati keputusan sama ada penganjur mahupun pihak berkuasa.
“Saya terima apa juga keputusan penganjur dan jabatan agama Islam. Saya menghargai usaha bersungguh-sungguh (penganjur) Datuk Anna (Lim) yang sanggup mengemukakan rayuan kepada JAWI bagi membolehkan kami bersaing,” katanya yang kini menumpukan perhatian kepada kerjaya peragaan dan dunia seni baru diceburinya.
Sementara itu, Anna ketika dihubungi berkata, beliau masih menunggu keputusan rayuan daripada JAWI minggu depan.
“Saya harap empat gadis berkenaan diberi kelonggaran menyertai pertandingan Miss Malaysia World 2013 dan kalau menang, berpeluang mewakili Malaysia pada Miss World di Indonesia September depan,” katanya.
Menghormati sensitiviti umat Islam, beliau memaklumkan format pertandingan kali ini lebih sopan berbanding penganjuran pada edisi lampau.
“Pertandingan ratu cantik kali ini bukan bersifat menonjolkan aset atau berpakaian seksi, tapi lebih menitikberatkan budaya serta kebajikan.
“Contohnya, peserta peringkat dunia tidak lagi memerlukan mereka memakai pakaian renang, sebaliknya menyerlahkan kecantikan menerusi bakat serta kepandaian.
“Malah, tuan rumah tahun ini, Indonesia turut menyarankan pertandingan tahun ini mengambil inisiatif memperagakan pakaian tradisional berbanding bikini yang dilihat tidak lagi rasional menilai kecantikan gadis,” katanya.
Isu itu kemudian menjadi lebih panas apabila minggu lalu, Sister In Islam (SIS) mengeluarkan kenyataan dalam laman portal berita Free Malaysia Today (FMT), mempersoalkan bagaimana fatwa yang diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 boleh menjadi undang-undang tanpa melalui proses perundangan dan dikatakan mencabuli hak asasi seseorang.
Berikutan itu, JAWI membuka kertas siasatan terhadap SIS mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana menghina pihak berkuasa agama atau mempertikaikan fatwa dan majlis agama. –
0 comments:
Post a Comment